9.06.2007

Kisah Makhluk Onk-onk


Semasa di ITM Perak dahulu(sekarang UiTM) ketika minggu pertama mendaftar seorang senior menyapaku “ Dari negeri mana?” “Melaka” jawabku ringkas. “Ooh Rahim Tambychik ya!” Terbuntang mataku melihat dia. Sememangnya aku faham maksudnya tentulah bersabitan kes bekas ketua menteri tersebut yang mempunyai hubungan sulit dengan anak sekolah yang muda belia. “Oops saya tak pilih dia kerana saya belum layak mengundi dan dia bukan wakil rakyat kawasan saya” balasku tegas. Dia hanya tersenyum kambing mendengar jawapanku. Dan sekarang sekali lagi bila rakan dari selatan berjumpaku mesti membangkitkan binatang onk-onk tersebut. Hinggakan ada peserta ruangan forum di dalam internet menulis Melaka darul onk-onk. Walaupun kawasan yang kaya dengan babi itu hanya terletak di Paya Mengkuang dan kawasan sekitarnya tetapi tak semena-mena Melaka negeriku yang tercinta ini pun terbabit sama. Memang yang buruk dan hodoh orang akan sentiasa ingat dan kekal dalam ingatan. Takut-takut lepas ini timbul pula kes JE. Nauzubillah. Manusia memang sering lupa. Mungkin banyak sebabnya kerana zaman ini adalah zaman persen. Singapura jiran sebelah selatan yang seluas sekangkang lipas itu lebih cerdik. Mereka tidak membenarkan babi diternak di pulau tersebut tetapi memilih tanah semenanjung untuk membekalkan babi yang ingin masuk dalam tembolok dan perut mereka. Rakyat sebelah sini memang ramai muslim jadi tidaklah mereka menelan binatang babi tersebut. Tetapi lebih malang kerana hidung mereka terpaksa menguyah bau loya babi selama 50 tahun. Entah beberapa keturunan babi sudah lahir dan ada penduduk di situ yang lahir dan meninggal di persekitaran berbau babi. Memang nasib malang yang tidak ada pembelaan. Seorang kawan yang punya masa senggang telah membuat kira-kira jika makhluk babi itu difaraidkan kepada penduduk DUN Linggi maka seorang layak mendapat 3 ekor setengah dan kalau nak dibahagikan pula kepada penduduk Melaka maka seekor boleh dikongsi dengan 3 orang penduduk. Begitulah cerita terbaru dari negeri Melaka negeri tercinta…

1 comment:

Mohd Nurhakimi B Md Yaman said...
This comment has been removed by the author.