4.28.2008

Bercuti di Kuching

Alhamdulillah, akhirnya termakbul juga doa untuk ke Kuching. Memang membahagiakan dapat melancong dan menenangkan fikiran di hari persekolahan. Mujur kak Nga mengajar di Kuching dapat juga berjalan tanpa mengeluarkan belanja yang terlampau banyak. Seronok berjalan di tempat orang, sambil melupakan sebentar kerja yang bertimbun dan masalah di sekolah...

9.06.2007

Kisah Makhluk Onk-onk


Semasa di ITM Perak dahulu(sekarang UiTM) ketika minggu pertama mendaftar seorang senior menyapaku “ Dari negeri mana?” “Melaka” jawabku ringkas. “Ooh Rahim Tambychik ya!” Terbuntang mataku melihat dia. Sememangnya aku faham maksudnya tentulah bersabitan kes bekas ketua menteri tersebut yang mempunyai hubungan sulit dengan anak sekolah yang muda belia. “Oops saya tak pilih dia kerana saya belum layak mengundi dan dia bukan wakil rakyat kawasan saya” balasku tegas. Dia hanya tersenyum kambing mendengar jawapanku. Dan sekarang sekali lagi bila rakan dari selatan berjumpaku mesti membangkitkan binatang onk-onk tersebut. Hinggakan ada peserta ruangan forum di dalam internet menulis Melaka darul onk-onk. Walaupun kawasan yang kaya dengan babi itu hanya terletak di Paya Mengkuang dan kawasan sekitarnya tetapi tak semena-mena Melaka negeriku yang tercinta ini pun terbabit sama. Memang yang buruk dan hodoh orang akan sentiasa ingat dan kekal dalam ingatan. Takut-takut lepas ini timbul pula kes JE. Nauzubillah. Manusia memang sering lupa. Mungkin banyak sebabnya kerana zaman ini adalah zaman persen. Singapura jiran sebelah selatan yang seluas sekangkang lipas itu lebih cerdik. Mereka tidak membenarkan babi diternak di pulau tersebut tetapi memilih tanah semenanjung untuk membekalkan babi yang ingin masuk dalam tembolok dan perut mereka. Rakyat sebelah sini memang ramai muslim jadi tidaklah mereka menelan binatang babi tersebut. Tetapi lebih malang kerana hidung mereka terpaksa menguyah bau loya babi selama 50 tahun. Entah beberapa keturunan babi sudah lahir dan ada penduduk di situ yang lahir dan meninggal di persekitaran berbau babi. Memang nasib malang yang tidak ada pembelaan. Seorang kawan yang punya masa senggang telah membuat kira-kira jika makhluk babi itu difaraidkan kepada penduduk DUN Linggi maka seorang layak mendapat 3 ekor setengah dan kalau nak dibahagikan pula kepada penduduk Melaka maka seekor boleh dikongsi dengan 3 orang penduduk. Begitulah cerita terbaru dari negeri Melaka negeri tercinta…

Berpindah ke rumah baru..


Lama sudah tidak menulis di sini. Dalam minggu ini aku sibuk berpindah ke rumah sewa. Alhamdulilah! Terima kasih kepada adikku Muhaimin yang sudi menemani dan tidak membiarkan aku terbungkam mati dalam kesepian keseorangan di rumah. Sekurang-kurangnya menjadi peneman berbual pembalas bicara untuk mengusir kebosanan yang mudah melekat di dalam jaring jiwa. Begitulah sepatutnya dalam umur 30 tahun aku sibuk menimang anak sambil berbual mesra meladeni isteri, tidak pun membantu isteri menyidai kain di ampaian. Tetapi keceriaan sebegitu masih belum mengetuk pintu hati. Mungkin kerana ketukan belum benar-benar kuat atau sememangnya memerlukan penukul besi untuk mengetuk. Kalau ada sesiapa yang terbaca blog ini doakanlah semoga Allah memudahkan urusanku untuk membina masjid, mempraktik sunnahnya sekaligus meramaikan bilangan ummah berkualiti menjadi pejuang mendaulatkan Islam.

Ahlan ahlan Ya Ramadhan


Bulan Ramadhan semakin menjelang tiba. Aku berdoa semoga dipanjangkan usia hingga ke Ramadhan yang bakal menjelang. Ya Allah rahmatilah ayahandaku yang telah pergi mengadapmu Ya Allah berilah kekuatan kepadaku, kepada bondaku, kepada keluargaku, kepada guru-guruku, kepada anak-anak murid yang dikasihi, sahabat-sahabatku dan muslimin muslimat di dunia ini untuk beribadat kepadamu di bulan Ramadhan ini. Ya Allah kau kembangkanlah lembayung rahmatmu kepada kami. Kau bantulah, kau cekalkanlah hati saudara-saudaraku di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Ichikeria, Thailand dan di semua tempat yang sedang berjihad dan berjuang untuk mendaulatkan agamamu dan menegakkan syiarmu. Allahumma bariklana fi shahri Syaaban, waballighna Ramadhan…
Semoga aku dapat bersama-sama meneguk kemanisan rahmat, berbaring dalam selimut keampunan dan mengecapi keberkatan lailatul qadar, malam seribu bulan yang dijanjikan Allah SWT…
Ahlan ya Ramadhan, Ahlan ya Ramadhan kami merindui gemersik syahdu lambaian kasih sayang, lembayung keamanan dan cahaya kedamaianmu.

8.19.2007

Seruan untuk masa depan agama, nusa dan bangsa

Pilihanraya dilihat semakin hampir. Tapi tidak seperti Turki, Thailand atau banyak negara lain tarikh pilihanraya memang merupakan teka-teki yang boleh menjadi berita sensasi pada media, gosip-gosip kalangan VIP dan sembang sumbang ahli Dewan Warung Mamak. Hanya Perdana Menteri sahaja yang mengetahui bila dia nak mengadakan pilihanraya. Mungkin ilham itu hanya tiba-tiba menerjah dan mungkin juga Perdana Menteri mendapat mimpi sewaktu tidur di atas sejadah seusai sembahyang istikharah kita pun tak tahu. Tapi apa yang memang kita tahu kita mesti mendaftar sebagai pemilih untuk mengundi di dalam pilihanraya. Ramai orang yang saya jumpa tidak kira orang yang terpelajar atau buat-buat terpelajar tidak menggunakan kuasa undi mereka untuk menentukan pimpinan yang akan membawa dan memacu negara kita ke arah yang diredhai Allah. Mereka mungkin tidak jelas atau memang memekakkan mata dan membutakan telinga dan tidak mahu mencampuri urusan politik yang dirasakan kotor atau ada juga yang beranggapan keduniaan. Pensyarah saya sendiri tidak pernah mengundi. Dia memang guru yang saya kasihi dan hormati. Tetapi dia mesti juga menjadi warganegara yang mempunyai kesedaran yang pemimpin ini bukan sahaja di dunia tetapi juga akan kita ikut sehingga akhirat. Ada individu dari golongan tabligh yang tidak mahu mendaftar kerana zaman nabi katanya tiada pihanraya. Betul 100 peratus. Tapi itu zaman nabi. Zaman ini menuntut kita bersama terlibat dalam urusan pilihanraya kerana ia juga adalah ibadah dan wajib pulak kalau ia akan mempengaruhi urusan agama. Fikirkanlah...

Kursus Dalam Cuti Yang Memenatkan...


Tahun ini tahun berehat daripada belajar. Sudah tiga tahun aku belajar setiap kali menjelang cuti persekolahan. Tiga tahun memang masa yang pantas kita rasa bila kita sudah selesai belajar. Tapi dalam masa belajar memang terasa teramat lama. Belajar enam hari seminggu yang kebiasaannya bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam amat memenatkan dan kadangkala tipulah kalau aku kata tak membosankan. Memang itulah adat kalau kita nak meningkatkan diri kita ni. Alhamdulillh walau tak pergi konvo dan tak merasa suasana kekonvoan(dengan izin) macam dewan rakyat lak! aku dapat keputusan cemerlang. Yelah untuk seorang guru yang masih mengajar dan waktu cuti pulak mengajar memang puas jika kita dapat keputusan yang cemerlang. Sekurang-kurangnya untuk memotivasikan anak-anak murid yang malas belajar dan telah basi motivasinya. Apa pun terima kasih pada Ibu, keluarga dan rakan-rakan taulan yang amat memahami dan membantu serta mendoakan kejayaan. Tidak lupa anak-anak murid yang bersedia membantu apabila diperlukan. Hakimi, Abu Naim, Emin, Mamat, Pojan, Lan yang selalu jugak wat masalah dan semua sekali. Setiap kali lepas sembahyang dan baca ma'surat insya Allah saya akan doakan kesejahteraan kalian semua. Jazakumullahu khairan jaza'.

8.16.2007

INSAN CEMERLANG UMMAH TERBILANG








Insan berilmu amal budaya cemerlang

Menjunjung keimanan serlah ketakwaan

Pancarkan diri dengan akhlak gemilang

Ummahkan disinar cahaya kejayaan

Insan Cemerlang Ummah Terbilang

Citra murni halatuju nusa bangsa

Tekad ditanam iltizamkan dijulang

Langkahkan dijana menuju jaya

Bangun wahai ummah bersama membina

Generasi utuh cemerlang modal insan

Tulus dan ikhlas dalam gerak direncana

Meniti hidup penuh kemanusiaan

Biar betapa besar cabaran mendatang

Walaupun menggunung tinggi ombak cubaan

Islam digenggam iman tetapkan ditatang

Menjadi benteng pengukuh sepanjang zaman

Tunjukkanlah kami arah yang engkau redha rahmati

Menghayati jalan sunnah mendamba damai abadi

Bangkitlah insan mendepani barisan

Menjana semangat mencanai sepakat

Terapkan diri dengan nilai terpuji

Berjiwa besar dan tinggi akal budi

Bangkitlah insan mendepani barisan

Melakar tamadun ummah cemerlang
Melakar tamadun ummah cemerlang, gemilang, terrbilang


Lirik : Muhammad Fakhrurrazi bin Isnin

Lagu : Usrah Nida’ us Salam